KEADAAN mangsa yang cedera. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


PERJALANAN pulang dua remaja perempuan bertukar tragedi apabila parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Jalan Surau Kaca, Taman Bedena Jaya Dua, Sungai Besar, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, mangsa, Koo Yee Sieng, 14, menunggang motosikal Modenas Kriss bersama Koo Yee Yin, 12, selepas selesai sesi persekolahan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua dan murid Tahun Enam datang dari arah Lorong Jambatan Bedena Jaya menghala ke Jalan Lama Kuala Selangor.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mereka dipercayai cuba menyeberangi jalan secara mengejut.

"Ia kemudian mengakibatkan mereka dilanggar lori dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dari arah belakang sehingga terjatuh," katanya.

Menurut beliau, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa masing-masing parah di kepala dan patah tangan kiri.

"Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata Nor Azmi, pemandu lori itu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 8:20 PM