Daun ketum yang dirampas dalam dua kenderaan pacuan empat roda berhampiran Pos Sahara, petang tadi. FOTO ihsan 5RS
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


MARKAS 6 Briged melalui Pasukan 5 Rejimen Sempadan (5RS) Bukit Kayu Hitam merampas 1,135 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM107,825 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, petang tadi.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, rampasan itu dibuat ketika rondaan dilaksanakan Sarjan Che Amat Abdul Kadir bersama tujuh anggota yang melihat pergerakan dua kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pos Sahara, Padang Terap.

Beliau berkata, sebaik pasukan ronda menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan, dua pemandunya melarikan diri.

"Kedua-dua kenderaan itu turut dirampas dengan anggaran nilai RM80,000 dan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM187,825.

"Permulaan yang baik untuk tahun baru ini apabila pasukan 5RS menunjukkan komitmen memberangsangkan hingga menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum," katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata, semua rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 8:58 PM