Muhammad Yusri Muzamir


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini, yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan terowong dasar laut.

Turut diserbu dalam operasi sekitar 9 pagi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, serbuan dibuat bagi membantu siasatan berkaitan projek mega itu yang akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Perai Utara.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dokumen dirampas bagi memastikan siasatan lebih menyeluruh dapat dijalankan.

"Kita ambil dulu semua dokumen berkaitan projek ini untuk meneruskan siasatan serta untuk kaji isu berbangkit mengenai projek terowong dasar laut.

"Serbuan ini dibuat berdasarkan bukti baru berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM," katanya.

Difahamkan, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang.

Selain itu, pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith di sekitar negeri ini.

Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baru kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 9:28 PM