Mohd Tarmimi menunjukkan tulang ikan paus yang digali semula di Pantai Benting Lentang Besut. FOTO Rosli Ilham


INSTITUT Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang (FRI) Rantau Abang bertindak menggali semula lokasi bangkai paus yang ditanam di Pantai Benting Lentang di Besut, semalam.

Kerja menggali itu dilakukan bagi membolehkan FRI mendapatkan tulang paus berkenaan untuk tujuan pengawetan selepas bangkainya ditanam di lokasi itu kira-kira dua tahun lalu.

Ketua Pasukan Penyelamat Kedamparan Spesis Marin Terancam FRI Rantau Abang, Mohd Tarmimi Ali Ahmad berkata, kerja menggali bagi mendapatkan semula tulang paus itu dilakukan lima kakitangannya dan mengambil masa selama dua hari.

Menurutnya, tulang paus dengan nama saintifik Ziphius Cavirostris itu kemudiannya dibawa ke FRI Rantau Abang dan dijangkakan proses pengawetannya akan mengambil masa selama enam bulan.

"Kami terpaksa menggali sedalam 1.5 meter di satu kawasan di Pantai Benting Lentang itu dan mendapati tulangnya melekat pada lapisan lemak tebal seperti minyak gris warna merah.

"Baunya sangat busuk tetapi demi tanggungjawab, kami terpaksa melakukan dengan sedaya-upaya bagi mendapatkan kesemua tulang terbabit," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod paus berkenaan ditemui mati terdampar di pantai berkenaan pada Januari 2016 sebelum penduduk memaklumkan penemuannya itu kepada Jabatan Perikanan Daerah serta FRI Rantau Abang.

Katanya, paus berkenaan ketika ditemui direkodkan beratnya lebih 1,000 kilogram dengan panjangnya menjangkau lapan meter.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan di lokasi terbabit kemudiannya mendapati punca paus itu mati kerana sakit dipercayai selepas termakan sampah seperti plastik dan botol minuman yang ditemui di dalam perut dan ususnya.

"Masalah berat bangkai terbabit menyebabkan FRI Rantau Abang mengambil keputusan untuk menanamnya di pantai itu untuk proses pereputan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 9:41 PM