KEADAAN angin kencang dan laut bergelora menyebabkan ombak besar menghempas benteng di Pelabuhan Perikanan Chendering.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5 meter (m) dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, utara Reef North dan utara Palawan bermula hari ini hingga Ahad ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

“Keadaan ini turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi serta sukan laut.

“Laut bergelora juga menjejaskan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, selatan Reef North, Layang-layang, Reef South, Labuan dan selatan Palawan,” katanya.

Manakala bagi perairan Malaysia, angin kencang Timur Laut dan laut bergelora dengan kelajuan 40 hingga 50 (kmsj) dan ombak mencapai 3.5 (m) dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), dan Wilayah Persekutuan Labuan, juga dijangka berterusan hingga Ahad ini.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka bermula Khamis hingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:38 AM