Siaran media berhubung kebocoran gas dalam saluran gas Sarawak-Sabah di Long Luping, Lawas, hari ini. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PETRONAS mengesahkan berlaku kebocoran gas dalam saluran gas Sarawak-Sabah di Long Luping, Lawas, awal pagi ini.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan kebocoran dikesan berlaku jam 2.24 pagi dan pasukan respon kecemasan PETRONAS sudah dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut mengenal pasti kebocoran itu.

"Pihak berkuasa tempatan sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana kebocoran tidak memberi impak kepada persekitaran.

"Siasatan lanjut bagi mengesan punca kebocoran berlaku sedang giat dijalankan dan keadaan terkawal," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii memaklumkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas sudah digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pegawai Petronas, lima rumah injap di Long Sukang sudah ditutup bagi menghentikan kebocoran gas terbabit.

"Beberapa rumah injap lagi di sepanjang laluan saluran berkenaan akan dikenal pasti dan ditutup untuk sementara waktu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:48 AM