Keadaan Proton Preve yang terbabas ke parit. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


KERETA polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam terbabas ke parit selepas terbabit kemalangan di Kilometer 56, Jalan Teluk Intan-Klang, Sungai Besar, 8.50 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa, Sarjan Mohd Azizi Felani Abu Hassan, 30, yang memandu Proton Preve bersendirian dalam perjalanan dari IPD menghala ke Mahkamah Klang.

"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dipercayai keluar dari simpang secara mengejut.

"Anggota polis itu kemudian cuba mengelak lalu terbabas ke parit berdekatan," katanya.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal itu cedera di kaki kanan.

Kata Nor Azmi, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:30 PM