KEADAAN rumah mangsa yang ditimpa pokok kelapa. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


ENAM sekeluarga terselamat selepas rumah mereka ditimpa pokok kelapa di Kampung Sungai Tembak B, Parit Panjang, Baling, semalam.

Habsah Saud, 63, berkata kejadian berlaku 7.30 malam ketika hujan lebat dan angin kencang.

"Ketika itu saya baru selesai solat maghrib dan tiba-tiba bunyi dentuman kuat di ruang dapur.

"Saya kemudian bingkas bangun dan meluru ke dapur sebelum terkejut sebatang pokok kelapa menghempap rumah," katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, ketika itu dia bersama dua anak dan tiga cucu berada di rumah manakala suaminya, Nordin Mat Saman, 71, bersembahyang di surau.


POKOK kelapa turut menimpa bilik air rumah berkenaan. FOTO Ihsan APM

"Hujan lebat, angin pula kuat ketika itu, tak sangka pokok kelapa di belakang rumah tumbang, mungkin akarnya sudah reput, lagi pun usianya lebih 50 tahun. Apapun saya bersyukur kami semua selamat," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, selepas solat berjemaah, dia bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan dengan kejadian itu.

"Pokok kelapa itu menimpa bumbung dapur dan bilik air menyebabkan zink rosak teruk. Beberapa perkakas elektrik di dapur turut rosak ditimpa kayu dan air hujan.


ANGGOTA APM sedang memotong dan membersih rumah Nordin Mat Saman yang dihempap pokok kelapa di Kampung Tembak B, Parit Panjang. FOTO Ihsan APM

"Syukur keluarga saya selamat meskipun saya mengalami kerugian kira-kira RM4,000," katanya.

Sementara itu, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling, Pejabat Adun Kupang, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil menghulurkan bantuan bencana segera kepada keluarga mangsa selain pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula membersihkan dan memotong pokok tumbang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:58 PM