KETIBAAN Penerbangan Air Asia berpaparan ''Let's Fly To Terengganu'' di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


MULAI hari ini, nama Terengganu akan dibawa terbang ke serata dunia menerusi pesawat AK6226 milik AirAsia yang memperagakan paparan 'Let's Fly To Terengganu' dan lukisan kawasan pelancongan menarik di negeri itu pada badan pesawat berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kempen itu akan berjalan selama dua tahun membabitkan kos sebanyak RM2 juta.

"Bukan hanya pada badan pesawat, malah promosi mengenai Terengganu ini turut dapat dilihat pada tempat penyimpanan beg dan tempat makanan pada kerusi serta majalah dalam pesawat, travel3sixty.

"Setakat ini kerajaan negeri sudah mengeluarkan sebanyak RM1.2 juta untuk kempen ini dan walaupun hanya membabitkan satu pesawat ia akan terbang ke pelbagai destinasi dalam dan luar negara.

"Kita harap dapat menarik lebih ramai pelancong terutama dari China untuk datang ke Terengganu bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Menyambut Ketibaan Penerbangan AirAsia Berpaparan 'Beautiful Terengganu' di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bukan Eksekutif AirAsia, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia yang juga artis terkemuka, Neelofa.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, kempan Visit Beautiful Terengganu tidak tertakluk kepada masa tertentu, sebaliknya berterusan.

"Sebab itu kita tandatangan kontrak untuk paparan kempen ini selama dua tahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kempen yang ditawarkan sebelum ini iaitu pemberian subsidi sebanyak RM10 seorang kepada pelancong luar yang menjadi pelanggan AirAsia menerusi penerbangan membabitkan laluan Johor Bahru-Kuala Terengganu sejak dilancarkan tahun lalu mula menampakkan hasil positif seperti disasarkan.

"Setakat ini sudah ada 19,000 pelancong luar negara datang ke Terengganu menerusi laluan itu.

"Apa yang kita belanjakan sebenarnya dapat semula lebih banyak kerana pelancong ini pasti berbelanja di negeri ini antaranya untuk penginapan dan makanan selain bagi membeli cendera hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 8:15 PM