PEKET heroin yang dibungkus untuk pasaran setempat.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Tiga lelaki dipercayai pengedar dadah tidak sempat meloloskan diri apabila ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Peladang, kelmarin.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek berusia 30-an dikatakan leka membungkus dadah dipercayai untuk dijual tanpa menyedari kegiatan mereka diintip polis, pada jam 5.51 petang.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis mengintip kegiatan mereka melalui lubang dinding rumah diperbuat daripada kayu sebelum bertindak menyerbunya.

Beliau berkata, suspek dalam keadaan ketakutan cuba melarikan diri melalui tingkap namun gagal sebelum mereka berjaya ditahan.

“Hasil peeriksaan menjumpai 19 peket plastik lut sinar dipercayai heroin seberat 21.5 gram. Suspek dipercayai membungkus dadah berkenaan untuk dijual kepada penagih sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, siasatan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan polis turut merampas sebuah motosikal Modenas Kriss dipercayai digunakan bagi mengedar dadah selain wang tunai RM200.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:41 AM