MOHD Zaid Ibrahim (kiri) bersama M Puravalen dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Supian Ahmad
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim daripada pertuduhan membuat kenyataan jelik menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan yang disiarkan di blognya, tiga tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor memutuskan demikian terhadap Zaid, 67, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 4 Disember 2015, Zaid didakwa menggunakan aplikasi Internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan itu di laman webnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, pada 3.20 petang, 3 September 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam penghakimannya Zaman berkata, terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan selain percanggahan kenyataan antara saksi-saksi pendakwaan.

Mangsa dalam kes ini juga tidak dipanggil memberi keterangan untuk mengetahui sama ada beliau terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh OKS.

" Justeru OKS dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Pendakwaan diwakili TImbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Zaid diwakili peguam M Puravalen.

Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

FOTO Sufian Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 6:31 PM