X
HISHAMMUDDIN (tengah) diiringi Salleh (kiri) dan Mahdzir (tiga kiri) beramah mesra bersama murid pada sesi lawatan ke kelas interaktif di Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim, Kem Batalion ke-5 RAMD, Kluang. FOTO Adi Safri
HISHAMMUDDIN (tengah) diiringi Salleh (kiri) dan Mahdzir (tiga kiri) beramah mesra bersama murid pada sesi lawatan ke kelas interaktif di Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim, Kem Batalion ke-5 RAMD, Kluang. FOTO Adi Safri
Mohd Sabran Md Sani


KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) julung kalinya melancarkan Blueprint Agenda Pendidikan Hala Tuju MINDEF 2018-2022 di Padang Kawad Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja Kluang Johor, hari ini.

Majlis pelancaran blueprint menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hadir sama menyaksikan pelancaran itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak; dan Datuk Md Jais Sarday selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pelancaran blueprint itu bakal melonjakkan paradigma baru agenda pendidikan Kementerian Pertahanan dengan anjakan dilalukan memfokuskan kepada peningkatan kemudahan pendidikan dan memperkasakan MINDEF.

Ia juga bagi merangka inisiatif untuk memartabatkan pendidikan MINDEF dan memberi pengiktirafan serta penghargaan melalui modal insan kepada warga pertahanan.

Panglima Tentera Darat yang juga Pengerusi Teras Kebajikan, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, blueprint dilancarkan itu membuktikan proses pembelajaran anak tentera sentiasa terpelihara dan dijaga persekitarannya.

"Ia dirangka bagi membolehkan anggota tentera dapat melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dengan penuh tanggungjawab tanpa perlu bimbang akan alam persekolahan anak masing-masing.

"Kami berterima kasih kepada Menteri Pertahanan atas sokongan jitu dan meluluskan satu konsep peningkatan pendidikan yang komprehensif, aktif dan kondusif dalam mewujudkan suasana pembelajaran kepada anak-anak tentera, veteran ATM dan warga awam MINDEF setanding pembelajaran ABAD Ke-21," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hasil kajian dilaksanakan, 102,820 orang akan menerima manfaat daripada pelancaran Blueprint Pendidikan ini.

"Ia membabitkan 33,611 pelajar, 1,987 guru sekolah dalam kem dan 67,222 ibu bapa membabitkan warga ATM, warga veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan," katanya.

HISHAMMUDDIN (tengah) diiringi Salleh (dua kanan), Mahdzir (dua kiri) dan Zulkiple (kanan) merasmikankan Majlis Pelancaran Blueprint Agenda Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022. FOTO Adi Safri
HISHAMMUDDIN (tengah) diiringi Salleh (dua kanan), Mahdzir (dua kiri) dan Zulkiple (kanan) merasmikankan Majlis Pelancaran Blueprint Agenda Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022. FOTO Adi Safri

Katanya, Kementerian Pertahanan menggariskan empat pendekatan yang digunapakai bagi melaksanakan Blueprint Agenda Pendidikan MINDEF 2018-2022.

Katanya, pendekatan pertama membabitkan pembangunan infra pendidikan sekolah-sekolah dalam kem ATM membabitkan kolaborasi

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama beberapa kementerian lain.

"Kerjasama ini dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)," katanya.

Bagi pendekatan pertama ia membabitkan pelaksanaan infrastruktur 38 sekolah, mewujudkan sembilan sekolah cemerlang dan dua sekolah berprestasi tinggi dalam tempoh lima tahun.

"Mewujudkan 'Telecentre' yang memberikan kemudahan mengakses Internet dan WiFi di sekolah dalam kem akan memberi kemudahan kepada guru-guru dan pelajar mengakses pembelajaran dengan lebih cepat dan mudah," katanya.

Pendekatan kedua katanya memperkasakan institusi pendidikan ATM sedia ada ke tahap yang lebih unggul bagi Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.

"Ia membabitkan kolaborasi NBOS bersama tiga kementerian sama bertujuan menjadikan landasan untuk melahirkan generasi yang memiliki sifat kepimpinan yang mampu menjulang nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pendekatan ketiga adalah inisiatif kebajikan pendidikan MINDEF yang membabitkan kerjasama Kementerian Pelajaran, KKLW dan Kementerian Pebangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat.

"Pendekatan ketiga ini turut mewujudkan pembelajaran tuiseyen secara atas talian sekaligus membolehkan pembelajaran dilaksanakan secara interaktif di sekolah dan juga di rumah bersama keluarga.

"Menyediakan kemudahan bersifat akademik melalui Program Motivasi ATM atau PERNAMA, mewujudkan tabung pendidikan MINDEF, penubuhan TASKA ATM dan menyediakan Feri Sekolah dengan menggunakan bas bagi menggantikan kenderaan tiga ton sebelum ini," katanya.

Pengiktirafan dan penghargaan modal insan menjadi pendekatan terakhir membabitkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 9:21 PM