Tengku Mastura Tengku Mohamad, 35, isteri Ahmad Fakhrurazi bersama anaknya, Muhammad Aqil Harith semasa pengebumian jenazah Allahyarham suaminya di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, Kuala Ibai. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


JENAZAH Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, yang dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas dalam kebakaran yang berlaku di rumahnya di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu pagi tadi selamat dikebumikan pada jam 6 petang.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, Kuala Ibai.

Terdahulu, jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid Tengku Sulong yang terletak berhampiran rumahnya.

Hampir 300 orang terdiri daripada ahli keluarga memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Azan Ismail.

Dalam kejadian 8.40 pagi tadi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil memeluk anaknya Muhammad Aqil Harith, 3, di halaman rumah oleh anak saudaranya.

Anak saudaranya cuba membangunkan bapa saudaranya namun arwah tidak memberi sebarang tindak balas.

Katanya, anak bongsu mangsa hanya menangis dalam pelukan bapanya, namun tiada kecederaan dialami kanak-kanak berkenaan sebelum diambil oleh neneknya.

Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba di lokasi untuk memberikan rawatan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 9:35 PM