KIM maut selepas kereta dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 226.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Seorang lelaki warga Korea Selatan maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa muatan perabot yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 226.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, Taiping, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Kim Eun Koo, 44, yang bekerja sebagai jurutera meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala, manakala pemandu lori tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai merempuh bahagian belakang lori berkenaan yang berhenti di tepi jalan.

Katanya, akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Pemandu lori berusia 23 tahun yang tidak cedera direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dengan bantuan BBP Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk sebelum operasi mengeluarkannya dijalankan menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 8.10 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:51 AM