Shamran Sarahan
shamss@hmetro.com.my

Petra Jaya: Seorang bekas pemangku pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Serian didenda RM273,600 dan dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Khas Rasuah, dekat sini, semalam, selepas didapati bersalah membuat tuntutan elaun palsu.

Abdul Wali Fathir Mustapha, 29, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh disabitkan bersalah selepas didapati mengemukakan tuntutan palsu berhubung elaun Pelapor Peti Undi Pejabat RELA Daerah Serian bernilai RM54,720 pada 3 Mei 2012.

Mengikut kertas tuduhan, tuntutan palsu itu digunakan untuk mendapatkan elaun pengakuan kehadiran 190 anggota RELA sebagai Pelapor Peti Undi di daerah Serian bagi April 2012.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada Hakim Nixon Kennedy Kumbong untuk meringankan hukuman dengan alasan dia menganggur dan perlu menyara keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi mendesak hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh memandangkan nilai tuntutan palsu dibuat tinggi.

Nixon menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM273,600 kepada tertuduh kerana melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, di bilik mahkamah sama, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku bersalah menerima suapan RM5,000 daripada seorang wanita di Sibu pada 13 Mac 2015.

Azrul Izman Shadan, 36, dijatuhi hukuman penjara 20 hari dan didenda RM25,000 selepas mengaku melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Nixon mengarahkan hukuman penjara terhadap Azrul bermula semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sibu menerima rasuah daripada Amy Yip Su Ling sebagai dorongan mengembalikan barang kemas dalam kereta yang dirampas polis ketika wanita itu ditahan keranamelakukan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.



AZRUL Izman dituduh terima suapan RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:08 AM