Muhaamad Hafis Nawawi


BURUH dipercayai tokan dadah berusia 41 tahun ditahan bersama 32 penagih dalam operasi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di tiga lokasi di daerah Pendang, semalam.

Pengarah AADK Kedah Mahadzir Elias berkata, operasi itu membabitkan seramai 20 anggota AADK Pendang diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatannya Mohd Hafiz Mansor menyerbu ‘port’ terbabit bermula 2 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, serbuan turut dibantu anggota STRIKE AADK Kedah berjaya menahan tokan terbabit di sebuah rumah di Kampung Kubang Pisang.

"Kita turut merampas 0.47 gram methamphetamin dan 84 gram opiat.

"Tokan itu yang hanya bekerja sebagai buruh dipercayai menjadi dalang pengedaran dadah di sekitar Pendang sejak tiga tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, selain itu, seramai 32 penagih berusia 18 hingga 55 tahun turut ditahan dalam operasi di Kampung Kekau dan port dadah di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Paya Nedam.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka semua positif dadah opiat dan methmphetamin.

“Tokan itu diserah kepada pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 32 penagih disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 10:52 AM