Hayati Ibrahim


SINDIKET penyeludupan manusia antarabangsa tumpas dengan penangkapan dalang utama dikenali sebagai ‘Abang Bangla’ dalam serbuan di rumah di Seksyen 28, Shah Alam, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan antara lapan bulan hingga setahun lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati Abang Bangla, 43, menguruskan kemasukan semula warga Bangladesh yang sudah disenaraihitamkan ke negara ini.

"Modus operandinya adalah menguruskan tiket penerbangan mereka dari Dhaka ke Jakarta, Indonesia sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan tikus sama ada darat atau laut.

"Kemasukan mereka ini diuruskan ejen sindiket yang berada di Dhaka dan Jakarta, serta menggunakan khidmat tekong untuk masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Mereka terpaksa membayar antara RM15,000 hingga RM20,000 kepada sindiket ini untuk masuk ke Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, dalam kes ini sindiket menjadikan pesisir pantai Sekinchan sebagai lokasi pendaratan warga Bangladesh berkenaan sebelum disimpan di rumah pengapungan terlebih dahulu sehingga mereka menyelesaikan bayaran berkenaaan.

Katanya, selepas itu barulah mereka akan diserahkan kepada ejen atau majikan yang memerlukan pekerja asing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Abang Bangla dikesan masuk ke Malaysia pada Jun 2013 dan bekerja di syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, siasatan mendapati pasportnya tamat pada Ogos 2016.


MUSTAFAR (tengah) menunjukkan passport yang dirampas berhubung kes penyeludupan manusia. Turut bersama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (kanan) dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan & Pendakwaan JIM, Eadie Nor Faizal Othman (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

"Kita masih menyiasat sama ada dia hanya terbabit dalam membawa masuk warga Bangladesh ini sahaja atau terbabit dalam kegiatan lain seperti memalsukan dokumen dan sebagainya," katanya.

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM kira-kira 2 pagi itu, 50 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 ditahan.

Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang disyaki bersubahat sebagai pembantu dan bersekongkol dengan Abang Bangla berkenaan.

"Wang RM13,400 dan 48 pasport dirampas. Malah, teksi turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Abang Bangla dan pembantunya ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala 50 warga Bangladesh ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan semalam, Mustafar berkata, JIM menahan 183 warga asing iaitu 60 warga India, 121 (Bangladesh) dan dua lelaki Pakistan yang bekerja di gudang di Subang Jaya, Selangor.

Katanya, penahanan itu dilakukan selepas mendapati mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk pasport tamat tempoh dan ada yang melakukan kesalahan kerana pertukaran sektor.

"Tangkapan dilakukan kerana mereka di premis itu dengan pendatang asing tanpa izin (PATI). Kita jelas bahawa di tempat tertentu, majikan yang menggajikan orang, mereka (majikan) hendaklah memberikan pekerjaaan kepada orang itu, bukan menjual pula orang ini ke tempat lain yang akhirnya kita tahu ini adalah adalah pemerdagangan orang atau perhambaan moden

"Mereka tidak sepatutnya bekerja di gudang berkenaan. Ada beberapa syarikat penyumberan luar yang uruskan mereka ke tempat itu. Kita sedang menjalakan siasatan terhadapa pemilik gudang dan ejen syarikat penyumberan luar ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 2:54 PM