LORI mangsa remuk dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


PEMANDU lori parah dalam kemalangan di Jambatan Muhibbah menghala ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) berhampiran susur masuk Laguna, Pelabuhan Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, Mohamad Azhar Abu, 38, parah di kepala dan muka selepas merempuh lori dipandu lelaki berusia 24 tahun.

"Kejadian berlaku jam 4.40 petang ketika lori dipandu Amirul Hakim Othman, 24, yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Pelabuhan Barat mengalami kerosakan enjin dan diberhentikan di bahu jalan.

"Pada masa sama, mangsa yang turut melalui lokasi itu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan," katanya.

Shamsul Amar berkata, mangsa yang berasal dari Taman Bukit Cheng, Melaka kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan ditahan di Zon Merah kerana tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan laluan ke Pelabuhan Barat terhalang dan pengguna perlu membuat pusingan U di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah.

Menurutnya, siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:30 PM