Anak lembu yang disumbat dalam Toyota Wish. FOTO ihsan PDRM
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

TIGA lelaki gagal melarikan anak lembu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas terserempak dengan anggota polis di kawasan Batu Puteh, di Kulim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 4 pagi itu, anggota peronda terbabit terserempak Toyota Wish dinaiki tiga lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota terbabit kemudian mengarahkan pemandu MPV terbabit berhenti untuk pemeriksaan.

"Namun pemandunya terus memecut laju lalu dikejar anggota polis sehingga masuk ke dalam kawasan jalan kampung.

"Beberapa minit mengejar, suspek memberhentikan kenderaan di kawasan ladang kelapa sawit di kampung terbabit dipercayai mengalami kerosakan.

"Ketiga-tiga suspek kemudain melarikan diri,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Nasir berkata, pemeriksaan anggota polis di dalam MPV terbabit kemudian menemui seekor anak lembu jantan di tempat duduk belakang.

Katanya, anak lembu terbabit dalam keadaan tidak bermaya dipercayai disuntik dengan ubat pelali dan diikat kaki.

"Anggota polis bersama dengan beberapa penduduk kampung kemudian cuba mencari suspek di kawasan terbabit namun gagal,"katanya.

Katanya polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan kereta terbabit serta pemilik lembu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:52 PM