Perlawanan persahabatan pasukan Balai Polis Cheras dan Polis Bantuan Sunway, semalam.
Mohd Roslin (kiri) bertukar cenderahati pada perlawanan persahabatan pasukan Balai Polis Cheras dan Polis Bantuan Sunway, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Dalam misi mengeratkan hubungan dengan agensi swasta, awam dan penduduk setempat, pasukan bola sepak Balai Polis Cheras mengadakan pelbagai siri perlawanan persahabatan sejak lapan bulan lalu.

Ketua pasukannya, Asisten Superintendan Mohd Roslin Mamat berkata, perlawanan itu juga penting dalam membentuk hubungan harmoni anggota pasukan keselamatan dengan semua lapisan masyarakat berbilang kaum yang juga aktif dalam sukan bola sepak.

“Ia sekali gus menafikan tanggapan anggota keselamatan kurang mesra dengan masyarakat umum sebaliknya mereka jelas mementingkan semangat kekeluargaan sekaligus menyokong gaya hidup sihat dan cergas,”€ katanya.

Terbaru, skuad berkenaan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Polis Bantuan Sunway (PB Sunway) di Padang bola sepak Sunway University,Bandar Sunway semalam.

Pada perlawanan itu pasukan PB Sunway menang ke atas pasukan Balai Polis Cheras dengan jaringan 2-0.

Mohd Roslin yang juga Ketua Balai Polis Cheras berkata, perlawanan berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada polis bantuan yang banyak membantu pasukan keselamatan menurunkan kadar jenayah.

"Melalui perlawanan sebegini ia secara langsung dapat mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua pihak.

"Di kawasan Cheras turut terdapat polis bantuan Sunway yang berkhidmat di Sunway Velocity,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:46 PM