Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya
am@hmetro.com.my


YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru rakyat menghormati amalan agama dan budaya semua kaum.

Menurut baginda, bagi memastikan kedamaian dan keharmonian yang dinikmati sejak sekian lama terus kekal, maka amalan menghormati agama dan budaya dianuti semua kaum adalah penting.

Justeru, baginda mahu golongan muda pada hari ini dididik dengan pengetahuan moral yang baik supaya mereka sentiasa dipupuk untuk hormat menghormati dan hidup bersatu padu.

"Pentadbiran yang baik juga perlu ada untuk memastikan kedamaian dan keharmonian. Beta percaya prinsip amalan tadbir urus yang baik, berintegriti, amanah, jujur dan ikhlas ada pada ajaran setiap agama serta adat budaya semua kaum.

"Nilai-nilai ini menjadi asas kepada Rukun Negara yang sepatutnya menjadi pegangan setiap rakyat sama ada yang dipimpin atau yang memimpin," titah baginda.


Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mencemar duli memeriksa kawad kehormatan perbarisan sempena Hari Keputeraan ke-70 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. FOTO Hazreen Mohamad

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-70 baginda di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Menyentuh mengenai kepimpinan, Tuanku Muhriz bertitah, pemegang tampuk kuasa perlu berpegang teguh kepada Rukun Negara terutamanya prinsip Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang.

"Ia hendaklah diterjemah dengan tindakan yang jujur dan ikhlas dalam mempertahan, melindungi dan memastikan kebebasan institusi perundangan, kehakiman, penguatkuasaan serta suruhanjaya.

"Tindakan ini perlu supaya institusi yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan bebas daripada sebarang campur tangan yang pasti memudaratkan. Ia termasuklah pengendalian Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tidak lama lagi," titahnya.

Sempena hari keputeraan baginda, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mendahului senarai 693 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, dengan dianugerahkan Darjah Kerabat Negeri Sembilan (DKNS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:55 PM