Anggota APM membuat persiapan memasukkan ular sawa yang ditemui di Kampung Lubok Bongor, Kuala Balah, Jeli, ke dalam kenderaan. - Foto KAMAL MAJID
Kamal Majid
am@hmetro.com.my

DUA beranak yang sedang memetik pucuk paku terkejut menemui ular sawa sepanjang enam meter yang kekenyangan dalam semak di Kampung Lubok Bongor, Kuala Balah, Jeli, pagi tadi.

Dalam kejadian 10 pagi, reptilia itu dipercayai baru membaham babi hutan.

Mariani Mohd, 41, berkata dia bersama ibu, Fatimah Awang Noh, 61, ke kawasan berkenaan pada 9 pagi untuk mencari pucuk paku.

“Ketika sedang leka memetik pucuk paku, saya terjumpa kesan laluan binatang sebelum menemui ular sawa dalam semak dalam keadaan kekenyangan.

“Kami bertempiaran lari menyelamatkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung.

“Tidak lama kemudian, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli tiba,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pegawai APM Jeli, Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, sebaik menerima panggilan pada 3.35 petang, anggotanya dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati ular masih berada di tempat kejadian.

"Dengan bantuan penduduk, kami mengambil masa 10 minit untuk memasukkan reptilia itu ke dalam kenderaan untuk dibawa ke pejabat APM Jeli bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:53 PM