Gajah yang merosakkan tanaman penduduk Kampung Salor, Jeli berjaya ditangkap PERHILITAN semalam. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof
am@hmetro.com.my


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan berjaya menangkap dua gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Salor Batu Melintang, Jeli, 6 petang semalam.

Gajah jantan yang masing-masing mempunyai anggaran berat 1.4 dan 1.5 tan itu ditangkap lima anggota PERHILITAN Jeli.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohd Hasdi Husin berkata, anggotanya memulakan operasi menjejaki gajah itu sebaik menerima laporan mengenai kehadiran haiwan itu di kawasan tanaman penduduk kira-kira 11 pagi.

"Dengan bantuan penduduk, kita berjaya menangkap dua gajah jantan di kawasan berhampiran tanaman penduduk kampung berkenaan.

"Gajah yang ditangkap itu masih berada di kawasan itu dengan dipantau anggota PERHILITAN," katanya.

Menurutnya, proses pemindahan gajah itu ke tempat lebih selamat dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

"Kita menunggu pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang bagi membantu usaha pemindahan dua gajah berkenaan.

"PERHILITAN yakin dengan tertangkap gajah berkenaan, kebimbangan penduduk mengenai kehadiran haiwan itu memusnahkan tanaman sejak kebelakangan dapat diredakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:12 PM