X
  Sekeluarga di Kampung Cik Wok Sri Pantai tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa yang didiami musnah dalam kebakaran.
Sekeluarga di Kampung Cik Wok Sri Pantai tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa yang didiami musnah dalam kebakaran.
HM Digital

Mersing: Ketika penduduk negeri ini terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir, lima beranak menumpang di rumah keluarganya selepas rumah sewa mereka di Kampung Cik Wok Seri Pantai, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, rumah papan diduduki Saripah Md Dali, 43, bersama suami, Jumaat Ramli, 43 dan tiga anak mereka berusia antara lapan hingga 11 tahun, musnah menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Saripah berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu, di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya bergegas pulang ke rumah, tetapi malangnya tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting kerana api marak dengan cepat.

“Walaupun sedih kehilangan tempat berteduh, saya reda dan bersyukur kerana ketiga-tiga anak selamat kerana berada di Sekolah Kebangsaan Seri Pantai Dalam, ketika itu.

“Kini, kami terpaksa menumpang di rumah ibu, Zaini Raub, 62, di Kilometer 7, Jalan Mersing-Jemaluang, dekat sini, buat sementara waktu sementara mencari rumah lain,” katanya.

Saripah yang bekerja sebagai pembantu pejabat berharap pihak berkuasa dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan hidup selepas kesemua barang keperluan mereka musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Sarhan Akmal Mohamad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 pagi, tujuh anggota dan pegawai bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba di rumah mangsa, kami mendapati api marak dan rumah papan beratapkan zink itu musnah 100 peratus. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 1:22 PM