MOHD Amir Muaz mendapatkan rawatan di hospital.
MOHD Amir Muaz mendapatkan rawatan di hospital.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Ibu bapa mana yang tidak mahu anak dilahirkan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain, begitu juga pasangan Khairil Mansor, 38, dan isteri, Zamzuria Zainal, 36, apabila menerima kehadiran Mohd Amir Muaz yang kini berusia empat tahun.

Namun, takdir menentukan apabila anak bongsu yang dilahirkan tidak cukup bulan itu disahkan menghidap penyakit jantung dan masalah paru-paru kritikal sejak lahir.

Khairil yang tinggal di Seri Damai di sini, berkata, isterinya melahirkan Mohd Amir Muaz dan adik kembarnya, Mohd Amar Muiz ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan berikutan menghadapi masalah.

“Bagaimanapun, Mohd Amar Muiz meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh ketika berusia lima bulan.

“Saya mengakui emosi isteri agak terganggu bukan disebabkan melahirkan bayi pramatang, tetapi tidak sanggup melihat bayi kami yang terpaksa menanggung seksa berjuang untuk terus hidup.

“Hati ibu mana tidak sayu melihat bayi kembar yang baru dilahirkan bergantung kepada mesin bantuan oksigen untuk bernafas.

“Ketika itu, saiz bayi kami hanya sebesar tapak tangan dan saya hanya menyentuhnya menggunakan hujung jari dan usapan itu terlalu sedikit supaya tidak menyakiti badannya yang dipenuhi wayar,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun Mohd Amar Muiz sudah kembali ke pangkuan Ilahi, namun kehidupan mereka terus diuji apabila Mohd Amir Muaz disahkan menghidap penyakit jantung.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akuan Maybank 156012100911 atas nama Khairil Mansor atau menghubungi talian 017-9726554.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 5:08 AM