TERTUDUH dipenjara 24 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mencabul anak saudara perempuan, 3, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh berusia 39 tahun selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Nazri memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa pada tarikh tertuduh ditangkap 26 Mac 2017.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa mencabul dengan menggunakan jari tanpa kebenaran terhadap kanak-kanak perempuan di atas sofa di rumah di Kota Bharu, 9 pagi, Februari 2017.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan @ Jaohari memohon hukuman ringan kerana lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar memohon hukuman setimpal kerana anak saudara adalah amanah untuk dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 5:48 PM