BEBERAPA wanita warga asing dipercayai GRO cuba melarikan diri dengan bersembunyi di bawah pentas dalam sebuah premis pusat hiburan ketika Jabatan Imigresen Kedah membuat serbuan di Padang Serai, Kulim, awal pagi tadi. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee


TIGA puluh wanita pelayan pelanggan warga asing dicekup anggota Jabatan Imigresen Kedah dalam Op Gegar di tiga premis perniagaan termasuk pusat hiburan dan premis urut di Padang Serai dan sekitar Kulim, hari ini.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaluddin berkata, dalam operasi selama enam jam yang berakhir jam 4 pagi tadi, sepasukan anggota penguatkuasa memeriksa 75 warga asing dan tempatan di tiga premis berasingan.

Dalam pemeriksaan berkenaan, 31 warga asing iaitu 30 wanita dan seorang lelaki dari pelbagai negara berusia antara 20 hingga 38 tahun ditahan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pihaknya memberkas sembilan wanita Thailand dan seorang wanita warga Laos yang bersembunyi di bawah pentas di premis terbabit.

“Ketika tangkapan, anggota kami terpaksa merangkak melalui lorong kecil di bawah pentas ini untuk mengesan semua GRO itu.

“Kemudian, di lokasi kedua yang terletak berhampiran, tujuh wanita dan seorang lelaki warga Thailand cuba melarikan diri sejauh 100 meter dari premis kedai makan dan rumah tumpangan melalui pintu belakang ini sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa tetapi mereka berjaya ditahan,”€ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, di lokasi ketiga, cubaan 13 wanita warga Thailand untuk melarikan diri juga gagal apabila premis pusat hiburan berkenaan sudah dikepung anggota imigresen.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati semua wanita dan lelaki berkenaan melakukan kesalahan imigresen mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas diberikan.

Katanya, mereka yang ditahan itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:03 PM