JAMALUDDIN menunjukkan satu peket dadah dibungkus dalam plastik gula-gula berperisa mengandungi serbuk methamphetamine yang dirampas.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Tindakan licik seorang lelaki dipercayai pengedar menjual dadah dibungkus menggunakan plastik gula-gula dan turut mempunyai logo halal terbongkar apabila ditahan polis di Taman Pertama di sini, Sabtu lalu.

Taktik suspek berusia 38 tahun menyimpan dadah methamphetamine dalam bekas gula-gula itu bertujuan mengelak kegiatannya dikesan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Kudin berkata, suspek yang mempunyai 14 rekod kesalahan lampau ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri yang melakukan pemeriksaan, jam 4.30 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas Perodua Myvi dinaiki suspek, polis menemui satu kotak berwarna perang mengandungi dadah bernilai RM65,500.

“Polis merampas 200 peket dadah methamphetamine seberat 1,660.8 gram, syabu (101.8 gram) dan 500 pil Eramin5,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berasal dari daerah ini menggunakan taktik meletakkan dadah dalam bungkusan seolah-olah gula-gula bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak berkuasa.

“Setiap bungkus dadah berkenaan diletakkan dalam plastik gula-gula itu dijual dengan harga RM250 dan boleh digunakan tiga penagih. Pengguna dadah ini akan memasukkannya ke dalam minuman dan ia sering digunakan di pusat hiburan.

“Ada empat bungkusan perisa gula-gula digunakan iaitu oren, anggur, strawberi dan nanas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 4:42 AM