X
Zuliaty Zulkiffli


“MEMANG anak saya bersalah dan kejadian ini wajar dijadikan iktibar buat orang lain," kata Shahrah Abdullah, 39, ibu kepada mangsa kemalangan, Muhamad Airel Haziq Md Nasir, 9.

Dalam kejadian 7.30 malam semalam, anaknya mengalami patah tangan kiri akibat dilanggar motosikal ketika bermain basikal di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang.

Menurut Shahrah, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anak ketiganya ketika pulang ke rumah mereka di Kampung Cheruk Air Pasang, Bukit Pinang sebelum waktu Maghrib.

Katanya, dia yang terkejut dengan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, saya ternampak Muhammad Airel Haziq terbaring di hadapan pondok pengawal di hadapan SK Bukit Pinang.

"Saya dimaklumkan yang basikal yang ditunggangi anak saya itu dipinjam dari rakannya dan dia dipercayai menunggang secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan di atas jalan raya hingga mengundang bahaya kepadanya," katanya.

Bagaimanapun, anaknya yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) malam semalam dibenarkan pulang tengah hari ini.

Shahrah berkata, sebelum ini dia kerap melarang anaknya bermain basikal di kawasan hadapan sekolah itu hingga sanggup menghantar anaknya ke sekolah setiap hari.

Katanya, walaupun kejadian yang menimpa anaknya berpunca akibat kecuaian sendiri, terdapat juga faktor lain iaitu jalan berkenaan tiada bonggol.

"Ia membuka mata masyarakat selepas beberapa kejadian kemalangan membabitkan pelajar yang menunggang basikal secara berbahaya.

"Ditambah pula dengan aliran terkini mengubah suai basikal lajak menjadikannya lebih laju, jadi saya berharap pihak berwajib memasang bonggol untuk keselamatan pelajar sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Bukit Pinang, Mohd Rosli Ayob berkata, pihaknya pernah menyuarakan supaya bonggol dibina di jalan itu pada mesyuarat Agung PIBG tahun lalu.

"Jumlah penduduk yang meningkat dan pembinaan perumahan baru di kawasan itu menyebabkan keadaan lalu lintas di jalan itu sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan.

"Lebih membimbangkan ada pemandu yang tidak peka dengan papan tanda yang diletakkan.

"Jalan itu baru diturap, sepatutnya perlu dibina bonggol supaya pemandu memperlahankan kenderaan dan senang murid hendak melintas," katanya.

Berita berkaitan:

Budak tunggang basikal dilanggar motosikal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 8:56 PM