DZULKHAIRI (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Kulai.

Kulai: Seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama 192.5 gram dadah dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tepi Sungai, Senai, Johor jam 10.30 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil maklumat orang ramai dan intipan yang dilakukan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan serbuan itu.

“Hasil serbuan itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dan pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan dua plastik.

“Di dalam plastik berkenaan terdapat 12 paket plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi serbuk atau ketulan berwarna putih disyaki heroin seberat 153.5 gram. Selain itu, kami menemui dua paket lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 39 gram.

“Suspek dan barang rampasan bernilai RM6,000 dibawa pulang ke IPD Kulai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Kulai di sini, semalam.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Dzulkhairi berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan semua dadah yang dirampas itu boleh diedarkan kepada 200 penagih di sekitar daerah Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:43 AM