Anggota bomba berusaha membawa mangsa keluar dari kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin

 

PEMANDU lelaki patah kaki kanan manakala tiga adiknya cedera selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Tebuk Haji Karim, Teluk Rhu, Sabak Bernam jam 6 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam Penolong Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil tiga adiknya berusia tujuh hingga 14 tahun dari sekolah.

"Ketika kejadian, Proton Wira dinaiki mereka dari arah Parit Baru menghala ke Bagan Nakhoda Omar (BNO) sebelum membelok ke kanan untuk masuk ke rumah.

"Pada masa sama, sebuah Proton Waja dari arah sama merempuh bahagian belakang Proton Wira itu mengakibatkan kereta berkenaan terbabas dalam parit berhampiran," katanya.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Tiba di lokasi, tiga beradik itu sudah dibawa keluar orang awam manakala pemandu tersepit di tempat duduknya.

"Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera pada muka manakala dua kanak-kanak perempuan cedera ringan.

"Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kereta itu," katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 1:09 PM