Jawatankuasa Kempen 1,000 Tandatangan Pembinaan Masjid Baru Dalam Parlimen Kepong menyerahkan permohonan kepada Jamil Khir di pejabatnya di Putrajaya. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


“SAYA lega kerana usaha untuk membawa perkara ini kepada menteri berwajib tercapai kerana sekurang-kurangnya kami penduduk di sini mengambil inisiatif semampu mungkin .

“Terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memberi maklum balas positif dan mengambil langkah segera untuk meneliti keperluan membina masjid baru," kata Datuk Norizan Ali.

Beliau yang juga Penaung Kempen 1,000 Tandatangan Pembinaan Masjid Baru di Parlimen Kepong berkata, sehingga semalam, sebanyak 1,277 tandatangan berjaya dikumpulkan dan ia sudah diserahkan bersama permohonan dalam pertemuan bersama Jamil Khir di Putrajaya semalam.

Katanya, pihaknya juga mengusulkan tanah di Taman Laman Rimbunan, Kepong seluas lebih satu hektar yang juga tanah rizab milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tetapi disewakan kepada pihak lain.

"Alhamdulillah, kita sudah berbincang dengan menteri dan menerangkan betapa perlunya sebuah lagi masjid dalam Parlimen Kepong.

“Kedudukan masjid yang terletak di sempadan antara Parlimen Segambut, Subang dan Batu menyebabkan pertambahan penduduk yang agak drastik, tetapi masjid masih kekal sejak 50 tahun lalu," katanya lepada Harian Metro.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Pengarah Program Kempen 1,000 Tandatangan Mohd Ramadhan Othman.

Harian Metro 5 Januari lalu melaporkan kempen 1,000 Tandatangan bagi menyokong pembinaan sebuah masjid baru dilancarkan di Kepong bagi menggesa pihak berwajib membina sebuah lagi masjid.

Ia ekoran ketika ini, Masjid Amaniah adalah satu-satunya masjid dan ia tidak mampu menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Sementara itu Jamil Khir berkata, pihaknya sudah memanjangkan perkara itu kepada MAIWP untuk penelitian serta pandangan mengenai pembinaan masjid baru itu.

"Saya sudah panjangkan kepada MAIWP untuk tujuan itu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pertemuan itu, Norizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong, turut menjelaskan keperluan masjid baru di Parlimen Kepong yang mempunyai lebih 20,000 umat Islam termasuk mereka yang bekerja di sekitarnya.

Katanya, selepas ini, pihaknya akan berhubung dengan MAIWP untuk mengetahui perkembangan lanjut dan berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:10 PM