TIANG Chai (dua kiri) membantu Nur Qistina Qalisyah mengenakan pakaian sekolah sambil diperhatikan Amir (kanan). FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


IMPIAN Fabilah Daud, 54, melihat cucunya Nur Qistina Qalisyah Abdullah, 7, bersekolah menjadi kenyataan selepas kanak-kanak itu akhirnya menerima sijil kelahiran dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebelum ini Fabilah buntu, memikirkan masa depan Nur Qistina Qalisyah, yang tidak boleh bersekolah kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri berikutan kelahirannya tidak didaftarkan arwah ibu atau bapanya.

Perasaan ceria jelas terpancar pada raut wajah wanita itu ketika menerima sijil lahir Nur Qistina Qalisyah, disampaikan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (MyPPP) negeri Datuk Chiw Tiang Chai, dalam majlis ringkas di Pejabat Pusat Perkhidmatan MyPPP negeri, Kota Laksamana, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Amir Hamzah Aziz.

Fabilah berkata, dia berasa amat gembira ketika melihat Nur Qistina Qalisyah, menyarung pakaian seragam sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dan menerima dokumen pendaftaran persekolahan disampaikan wakil Jabatan Pelajaran negeri.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pendaftaran kelahiran Nur Qistina Qalisyah yang bakal memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist 1 Tengkera, dalam tempoh terdekat.

"Saya berasa amat resah kerana kami sekeluarga hanya mengetahui mengenai masalah Nur Qistina Qalisyah tahun lalu, iaitu tidak lama sebelum arwah ibunya yang dirawat di hospital meninggal dunia.

"Sejak itu kami berusaha mendaftarkan kelahiran Nur Qistina Qalisyah dengan meminta bantuan daripada pelbagai pihak. Kami hampir berputus asa kerana pada awalnya ramai mengatakan proses pendaftaran cucu adalah sukar.

"Harapan melihat cucu bersekolah kembali bersinar selepas kami berurusan dengan Pembela BN Melaka. Sekarang ini syukur sangat Allah SWT sudah permudahkan urusan Nur Qistina Qalisyah untuk bersekolah," katanya.

Harian Metro 4 Januari lalu melaporkan keresahan Fabilah, berikutan Nur Qistina Qalisyah tidak memiliki sijil lahir berikutan kegagalan arwah ibunya menjelaskan bil selepas bersalin di pusat perubatan swasta.

Nur Qistina Qalisyah, dijaga neneknya selepas ibunya meninggal dunia Julai tahun lalu akibat masalah pada perut manakala bapanya pula gagal dikesan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 10:14 PM