Sebahagian pelajar menunjukkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia selepas diumumkan di Dewan Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan di Jalan Merbau, Kota Bharu, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Keputusan keseluruhan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 yang diumumkan semalam, menunjukkan peningkatan apabila jumlah calon memperoleh STAM meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam berkata, 4,733 calon memperoleh gred Maqbul hingga Mumtaz bagi STAM 2017 berbanding hanya 4,286 calon pada STAM 2016.

Menurutnya, calon yang tidak layak dianugerahkan sijil STAM bagi 2017 pula menurun 2.7 peratus iaitu 30.3 peratus (2,060 calon) berbanding 33 peratus (2,108 calon) pada 2016.

“Calon yang memperoleh sijil pangkat Mumtaz (cemerlang) pada 2017 meningkat 0.4 peratus kepada 600 calon berbanding 537 calon pada 2016.

“Kumpulan calon yang memperoleh sijil pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) turut meningkat 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala, kumpulan calon yang memperoleh sijil pangkat Jayyid (baik) pula menurun 0.3 peratus berbanding 2016,” katanya.

Selain itu, jumlah calon yang memperoleh Gred Mumtaz (cemerlang) bagi semua 10 mata pelajaran yang diduduki menurun 0.3 peratus kepada 67 calon berbanding 80 pada 2016.

Dalam pada itu, empat dari lima mata pelajaran bidang Bahasa Arab mencatatkan peningkatan peratusan calon yang memperoleh gred Mumtaz hingga gred Maqbul pada 2017 berbanding 2016 iaitu Nahu dan Sarf, Insya’ dan Mutalaah, Adab dan Nusus serta Arudh dan Qafiyah.

Seramai 9,534 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM pada 2017 berbanding 8,784 calon pada 2016 iaitu bertambah 750 calon.

Sebanyak 240 pusat peperiksaan disediakan membabitkan 1,071 petugas peperiksaan mentadbir peperiksaan itu.

Peperiksaan STAM adalah hasil daripada perjanjian persefahaman akademik dan kebudayaan yang dibentuk pada 1999 di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Syarif, Republik Arab Mesir.

Kurikulum STAM diambil daripada Maahad Bu’uth Al-Islamiyyah Al-Azhar, Mesir menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Sijil STAM melayakkan calon memohon program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Malah, sijil STAM mendapat pengiktirafan setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:48 AM