ANGGOTA bomba memadam kebakaran dalam kemalangan di Kilometer 297, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
HM Digital

Gopeng: Seorang lelaki sesak nafas selepas kereta dipandu terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain sebelum terbakar di Kilometer 297, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng Shahpri Sharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.01 malam dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan kereta Proton Saga BLM yang musnah 80 peratus selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama kereta BMW dan lori satu tan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, anggota mendapati api marak membakar hampir keseluruhan kereta terbabit.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 50-an yang dikeluarkan orang ramai mengalami sesak nafas,” katanya.

Beliau berkata, anggota melakukan pemadaman menggunakan dua aliran hos bersumberkan air dari tangki jentera hingga api dipadamkan sepenuhnya.

Shahpri berkata, siasatan mendapati, kereta Proton Saga terbabit melanggar kereta BMW sebelum merempuh bahagian belakang lori lalu terbakar.

“Difahamkan, lori sebelum itu terbabas di pembahagi jalan dan berhenti di lorong kanan, manakala kereta BMW pula berhenti di lorong kiri.

“Pemandu Proton Saga yang berada dari arah sama hilang kawalan lalu melanggar kedua-dua kenderaan berkenaan yang berada dalam keadaan berhenti,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Keseluruhan operasi tamat jam 8.30 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:32 AM