Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

WANITA warga emas yang mengalami masalah nyanyuk (Alzheimer) ditemui dalam keadaan lemah di kebun getah di Kampung Jeram Pasu, Pasir Puteh, kelmarin.

Wanita berusia 84 tahun ditemui oleh seorang penduduk kampung pada 6.30 pagi dalam keadaan terbaring.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Taman Haji Husin, Ab Halim Mohamad berkata, ketika dia ke kebun getahnya yang terletak pada jarak 50 meter dari rumah, dia terkejut melihat seorang wanita terbaring.

Wanita itu kelihatan lemah kerana semalaman tidur di kebun getah dalam keadaan sejuk.

“Saya terus mendukung wanita itu untuk dibawa pulang ke rumah sebelum membersihkannya dan memberi makanan.

“Kerana tidak mengenalinya, saya kemudian menyebarkan penemuan wanita itu dalam aplikasi WhatsApp AJK masjid.

“Pada 12 tengah hari, saya ke Balai Polis Pasir Puteh untuk memaklumkan penemuan itu sebelum cucu wanita itu datang mengambilnya pada 4 petang dan memaklumkan neneknya gemar berjalan seorang diri,” katanya.

Penemuan wanita itu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang meminta ahli keluarga datang mengambilnya selepas ditemui dalam kebun getah.

Ab Halim berkata, wanita berkenaan menyewa di kawasan berdekatan bersama anak dan cucunya sejak dua bulan lalu serta mereka belum mengenali antara satu sama lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, tiada laporan polis yang dibuat berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 1:51 PM