Hayati Ibrahim


TIMBALAN pengerusi syarikat dan seorang pengarah eksekutif kanan, masing-masing bergelar Datuk yang direman untuk membantu siasatan berhubung pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang dibebaskan hari ini.

Majistret Aida Khairuleen Azli membenarkan kedua-dua individu itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Suspek pertama berusia 59 tahun yang juga pengarah eksekutif kanan syarikat sebelum ini direman selama 11 hari di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula 10 Januari lalu.

Sementara, suspek kedua berusia 50 tahun adalah timbalan pengerusi syarikat hartanah turut direman 11 hari bagi membantu siasatan.

Kedua-dua lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Suspek pertama ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 Januari lalu, manakala suspek kedua ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang pada hari yang sama.

Penahanan mereka dibuat susulan serbuan SPRM ke beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdu Razak (Komtar) pada 9 Januari lalu berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut.

Turut diserbu dalam operasi sekitar 9 pagi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Berita berkaitan:

Terowong dasar laut: Reman dua Datuk disambung [METROTV]

SPRM serbu 9 syarikat berkaitan terowong dasar laut

Dokumen berkenaan terowong dasar laut diambil

Datuk direman kes projek terowong dasar laut [METROTV]

SPRM mula bertindak

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:08 PM