Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


BAPA tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini, atas tuduhan mencederakan isterinya, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Irwan Johson Abdullah, 48, seorang penganggur membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan cedera menggunakan tangan dengan cara menumbuk muka dan memukul bahagian kepala isterinya, Suzanah Fapilaya, 38, di rumah beralamat di Jalan Wakaf Bertam Ulu kira-kira 4 petang, 14 Januari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria, mencadangkan mahkamah tidak membenar jamin terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah isterinya dan dikhuatiri mengganggu isteri dan anak-anak.


TERTUDUH ketika keluar dari kamar mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad

Tertuduh bagaimanapun merayu dibenarkan jamin dengan alasan tindakannya itu didorong perasaan marah kerana mendakwa isterinya yang melakukan hubungan sulit.

"Saya hanya lakukan begini sekali dan tidak berulang. Saya mahu pulang ke rumah dan membetulkan keadaan," kata tertuduh.

Bagaimanapun, Azri membantah rayuan tertuduh dan mempersoalkan ketidakhadiran isteri dan tiga anaknya ke mahkamah hari ini, membuktikan kesan trauma dihadapi mereka.

Norina bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya dan tidak menawarkan jaminan serta menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 4:49 PM