NAJIB diiringi Musa beramah mesra dengan pelajar selepas majlis perasmian SMK Bandau, semalam.
Mohd Izham Unnip Abdullah

Kota Marudu: Sabah menerima RM3.1 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek baru dan sambungan yang membabitkan 142 sekolah menerusi Rancangan Malaysia Ke-11( (RMK-11).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, RM1.4 bilion diluluskan untuk projek baru yang membabitkan 56 sekolah manakala selebihnya bagi melaksanakan projek sambungan yang membabitkan 86 sekolah.

“Dalam RMK-11, Perdana Menteri lulus projek baru 56 sekolah untuk Sabah iaitu RM1.4 bilion. Perdana Menteri juga beri peruntukan projek sambungan kepada 86 sekolah dengan jumlah RM1.7 bilion.

“Jadi keseluruhannya RM3.1 bilion diperuntukkan kepada Sabah dalam RMK-11,” katanya pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman. SMK Bandau ditubuhkan pada 2000 namun menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan sebelum menggunakan bangunan sendiri pada Mac 2014 yang dibina dengan kos RM34 juta.

Selain dilengkapi 24 kelas, makmal sains dan komputer, pusat pentadbiran, pusat sumber dan kantin, SMK Bandau yang mempunyai 1,022 pelajar serta 53 guru turut dilengkapi bangunan asrama, padang dan gelanggang untuk aktiviti riadah dan sukan.

Sebagai tambahan, Mahdzir berkata, RM1 bilion lagi diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Sabah untuk menggantikan bangunan sekolah yang dibina daripada kayu menerusi kaedah pembinaan berindustri (IBS) pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober lalu.

Sementara itu, katanya ketika ini nisbah guru berasal dari Sabah yang mengajar di negeri ini mencapai 87.4 peratus dan ia menghampiri nisbah 90 peratus guru asal Sabah berbanding 10 peratus guru dari Semenanjung yang ditetapkan kerajaan.

“Ketika ini ada 40,000 guru yang mengajar di sekolah menengah dan sekolah rendah di Sabah. Dasar 90 peratus guru tempatan Sabah dan 10 peratus guru dari luar yang dilaksanakan hingga sekarang mencapai 87.4 peratus.

“Bukan itu saja, kerajaan turut melantik Ketua Pengarah Pelajaran baru daripada orang Sabah iaitu Datuk Dr Amin Senin yang memulakan tugas pada Oktober lalu. Beliau adalah orang Sabah pertama menjadi Ketua Pengarah Pelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 4:39 AM