TANAH Bencah Kuala Baram seluas 600 hektar menjadi destinasi persinggahan lebih 500 burung hijrah di sepanjang jalan berhampiran Sungai Tujuh iaitu sempadan Miri-Brunei.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Pada waktu tertentu dalam setahun, burung melakukan migrasi. Untuk apakah migrasi itu berlaku?

Secara kasar, migrasi burung ini berlaku berikutan faktor lokasi, iklim dan masa, begitu juga sumber makanan.

Sebagai contoh, jika keadaan cuaca sejuk di Hemisfera Utara, burung berhijrah ke selatan dan balik semula ke utara apabila musim panas untuk pembiakan.

Atas faktor ini juga, Tanah Bencah Kuala Baram di Sarawak boleh dikategorikan sebagai khazanah alam yang tidak ternilai di Bumi Kenyalang kerana ia menjadi salah satu destinasi utama persinggahan burung hijrah itu.

Menariknya, spesies burung yang singgah ke Tanah Bencah Kuala Baram bukan saja dari kategori burung pemangsa, sebaliknya turut menjadi persinggahan spesies burung berkicau dan akuatik.

Mengikut rekod, 137 spesies burung memilih Tanah Bencah Kuala Baram sebagai destinasi persinggahan sehingga 1 Disember lalu,ia menyamai jumlah persinggahan burung hijrah ke Tanah Bencah Putrajaya yang mencatatkan 138 spesies sejak 2016.

Berbanding Tanah Bencah Putrajaya, Tanah Bencah Kuala Baram seluas 600 hektar bukan tanah bencah buatan, sebaliknya ia tanah bencah semulajadi dengan nilai biodiversiti tinggi sehingga menjadi destinasi persinggahan dan kediaman lebih 500 burung dalam sesuatu masa.

Malah, ada spesies burung hijrah dikategorikan sebagai jarang ditemui, terancam dan dilindungi singgah ke destinasi ini seperti Chinese Crested Tern.

TANAH Bencah Kuala Baram seluas 600 hektar menjadi destinasi persinggahan lebih 500 burung hijrah di sepanjang jalan berhampiran Sungai Tujuh iaitu sempadan Miri-Brunei.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Miri Musa Misbah berkata, kehadiran spesies burung itu disahkan Steve Dexter yang juga ahli MNS pada 2015 lalu.

“Ia satu rekod yang cukup menarik buat MNS. Selain pengesahan kehadiran Steve Dexter itu, ada juga dokumentasi dari Hong Kong dan Filipina yang menyenaraikan spesies ini pernah berada di sini.

“Lazimnya, spesies burung hijrah berada di sini antara November dan Disember setiap tahun, manakala hari biasa hanya dipenuhi ratusan burung residen,” katanya.

Di Tanah Bencah Kuala Baram ini, daripada 137 spesies burung yang singgah ke situ, 54 spesies burung yang direkodkan adalah kategori burung hijrah, antaranya Barn Swallow, Bar Tailed Godwit dan Brown Shrike.

Selebihnya, burung yang boleh dilihat di tanah bencah ini adalah kategori burung residen seperti Belatuk Merah, Ciak Padang dan Helang Tikus.

“Dari segi spesies pula, ada lebih 30 spesies burung akuatik seperti Bangau Kerbau dan Camar.

“Selain itu, sekurang-kurangnya 15 spesies adalah burung pemangsa seperti Helang Sewah Besar, Helang Hindek dan Helang Tikus.

“Burung paling banyak ditemui di Tanah Bencah Kuala Baram ini adalah Itik Belibis. Ia boleh dilihat lebih dari 100 ekor dalam suatu masa,” kata Musa.

Menyingkap serba ringkas mengenai burung hijrah di Tanah Bencah Kuala Baram, Musa berkata, sepanjang November dan Disember setiap tahun, pemerhati burung lazimnya boleh melihat kehadiran ribuan burung hijrah dari Hemisfera Utara, khususnya dari China, Taiwan dan Jepun, bahkan sejauh Siberia yang singgah ke situ.

PEMINAT burung menyaksikan kelibat burung hijrah yang singgah di Tanah Bencah Kuala Baram.

Menurutnya, ada antara spesies burung itu yang bertelur dan menetas di kawasan tanah bencah berkenaan, seterusnya menetap dalam tempoh dua sehingga tiga bulan di situ.

“Selepas tempoh itu, kawanan burung itu meneruskan perjalanan merentasi benua lain bagi mencari tempat persinggahan yang sesuai untuk membiak dan mencari makanan.

“Apabila tiba November dan Disember tahun berikutnya, burung itu datang semula ke sini, begitulah kitaran perjalanan burung hijrah berkenaan,” katanya.

Bagi yang tidak tahu, selain Tanah Bencah Kuala Baram, sekurang-kurangnya 55 kawasan lagi di Malaysia dikenal pasti sebagai Kawasan Burung Penting (IBA) yang menjadi tumpuan persinggahan ratusan ribu burung hijrah, termasuk penghijrahan burung dari kawasan sejuk.

Mengikut rekod, antara 8,800 dan 10,200 spesies burung di seluruh dunia dan di Malaysia saja terdapat 750 spesies burung tempatan, namun hanya kira-kira 300 spesies saja yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 5:44 AM