ABDULLAH (tengah) menunjukkan rampasan dadah. FOTO Nik Abdullah Nik Abdullah
Rosliza Mohamed


EMPAT serbuan dalam dua hari membolehkan empat lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis barang larangan itu bernilai RM16,640.

Mereka yang berusia 24 hingga 38 tahun ditahan di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas pada Khamis dan kelmarin.

Turut dirampas, wang tunai RM40,000 dan Proton Saga serta Naza Citra.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Aissten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan itu dilakukan pasukannya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan.

Katanya, serbuan pertama menahan lelaki berusia 30 tahun di rumah di Kampung Gual Tok Deh Barat, Rantau Panjang pada 5 pagi, Khamis dan menemui satu botol plastik mengandungi heroin seberat tiga gram, enam botol ubat batuk, 300 mililiter cecair ketum bernilai RM2,000 serta wang tunai RM40,000.

“Susulan penahanannya, pasukan ke Jalan Rantau Panjang Lama dan menemui Proton Saga yang mengandungi 83 botol ubat batuk jenama sama dan 216 botol ubat batuk dengan nilai RM3,570.

“Turut dirampas Naza Citra disyaki dicuri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

bdullah berkata, serbuan kedua pada 10.15 pagi, Khamis menahan lelaki berusia 25 tahun di Kampung Landar, Pasir Mas dan menemui 206 biji pil kuda dalam sarung kaki bernilai RM2,060 dalam bilik tidur.

"Serbuan ketiga pula pada 10.35 pagi di Kampung Kubang Batang dan lelaki 24 tahun ditahan bersama 101 pil kuda bernilai RM1,010," katanya.

Beliau berkata, serbuan terakhir pada 5 pagi, kelmarin di Kampung Bendang Pauh, To’ Uban dan menemui enam gram heroin dianggarkan RM8,000, manakala seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan.

Menurutnya, ujian saringan tiga daripada empat suspek dapati positif Methaphetamine dan mereka direman antara empat ke tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1); Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2l Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bekalan dadah diperoleh dari negara jiran, manakala ubat batuk dari Lembah Klang. Tiga suspek juga memiliki dua ke empat rekod jenayah lampau berkait dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 3:32 PM