ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membantu mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Ramli Ibrahim


PEMUDA parah selepas Proton Saga dipandu hilang kawalan dan merempuh pokok di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Limau Kasturi dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang, 7.50 pagi tadi.

Azizan Che Aziz, 20, patah paha kanan dan luka di badan akibat tersepit dan terpaksa dikeluarkan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandunya sendirian dari RKT Jeram Tekoh menghala ke Limau Kasturi hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok.

Ketua Operasi BBP Gua Musang, Mohd Zawawi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.59 pagi.

"Seramai 10 anggota dikerah ke lokasi bersama satu jentera dan mangsa dikeluarkan dalam tempoh 15 minit disebabkan bahagian kaki kanannya tersepit, manakala kereta remuk teruk.

"Ketika diselamatkan, dia separuh sedar dan rawatan awal diberikan anggota sebelum dihantar terus ke HGM," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 3:34 PM