OPERASI mencari dan menyelamat dua beradik yang dikhuatiri lemas giat dijalankan. FOTO ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


DUA beradik dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air di FELCRA Seberang Perak, Changkat Lada, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Lokman Abd Samad, 20, dan adiknya Mohamad Raihan, 6, serta Kamarudin, 18 ke tali air itu untuk mandi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, laporan awal yang diterima memaklumkan tiga beradik itu dihanyutkan air yang berpusar ketika sedang mandi.

"Ketiga-tiga mereka cuba berenang ke tepi namun ketika hampir tiba di tebing dua mangsa terbabit dipercayai lemas.

"Mangsa yang terselamat berusia 18 tahun cuba menyelamatkan abang dan adiknya namun terlepas daripada pegangan sebelum dua mangsa itu hilang di dalam air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika ini gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.16 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

"Maklumat daripada orang awam memaklumkan dua mangsa dikhuatiri lemas di tali air itu.

"Ketika ini operasi menyelamat sedang dijalankan dengan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:34 PM