Muhammad Umar Hanif (kiri) bersama replika cek yang diterimanya. FOTO Garret Dawum
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my

KEHADIRAN kanak-kanak berusia sembilan tahun sejauh 100 kilometer bersama keluarga dari Butterworth, Pulau Pinang untuk mengikuti Karnival Kewangan Kedah tidak sia-sia apabila memenangi cabutan bertuah wang tunai RM5,000 tajaan Public Bank.

Muhammad Umar Hanif Mohd Hafisudin menerima replika cek itu yang disampaikan Pengurus Cawangan Public Bank Jalan Kota, Megat Zaidi Megat Mokhtar dan hadiah akan dikreditkan ke dalam akaun simpanan yang terus dibuka oleh pihak bank.

Menurutnya, dia terkejut apabila nama diumumkan sebagai pemenang dan tidak sangka dipilih sebagai penerima hadiah utama serta bernilai itu.

"Alhamdulillah... duit ini saya akan simpan bagi masa depan terutama untuk pembiayaan pendidikan.

"Saya bercita-cita untuk menjadi ahli bomba dan akan belajar bersungguh-sungguh demi mengejar impian itu," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Pusat Konvensyen Tabung Haji (TH) Alor Setar, Kedah.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz sambil disaksikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.

Karnival yang bertemakan ‘€˜Utamakan Keperluan Kewangan Anda’ ™ anjuran BNM dengan kerjasama institusi kewangan yang membuka peluang kepada orang ramai memahami pelbagai aspek kewangan, termasuk produk serta perkhidmatan kewangan, akses kepada pembiayaan dan bantuan penyelesaian masalah kewangan.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, karnival berkenaan berjaya menarik 25,000 pengunjung dari utara Semenanjung.

"Kami berjaya mencapai sasaran 20,000 pengunjung pada asalnya dan sesungguhnya karnival ini sudah memberi manfaat kepada mereka yang hadir.

"Karnival ini juga berjaya menjadi pusat sehenti untuk masyarakat setempat mendapat akses mudah kepada semua jenis maklumat yang diperlukan dalam segmen kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:43 PM