Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. FOTO Petikan video dari Facebook Community Roda Johor
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


REMAJA lelaki berusia 18 tahun ditangkap pemilik rumah di Taman Nora, Ulu Tiram, Johor Bahru, selepas disyaki menceroboh kediaman itu, kira-kira 9.30 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, sebaik menyerahkan suspek berkenaan kepada polis, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental atau kurang siuman.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental atau kurang siuman itu berjalan seorang diri dan merayau-rayau di kawasan perumahan berkenaan sebelum memasuki pagar rumah mangsa.

"Suspek masuk ke dalam kawasan pagar dan rumah mangsa yang ketika itu pagar dan pintu rumahnya tidak berkunci.

"Apabila pemilik rumah menyedari suspek yang tiba-tiba tercegat di pintu rumahnya, pemilik rumah bertindak menangkap suspek dan menghubungi polis sebelum menyerahkannya kepada polis yang hadir di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak membawa atau memiliki sebarang senjata berbahaya ketika kejadian.

Katanya, lelaki itu juga tiada mengugut atau mencederakan mana-mana pihak.

"Hasil semakan kita, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya juga didapati negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah.

"Kita juga sedang berusaha untuk mengesan ahli keluarga lelaki itu bagi membantu siasatan dan kita juga memohon kerjasama orang ramai yang mengenali suspek supaya tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222," katanya.

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 31 saat dikongsikan di laman sosial Facebook yang memaparkan seorang lelaki yang sudah digari tangannya diserahkan kepada pihak polis.

Menerusi video itu, lelaki berkenaan didakwa terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Nora, Ulu Tiram, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 8:52 PM