DBKL ambil langkah selamat elak tragedi baling objek berulang.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan pemasangan jaring membabitkan 72 Projek Perumahan Rakyat (PPR)di Kuala Lumpur merangkumi 494 blok dengan 80,000 unit rumah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini akibat pembuangan barang dari tingkat atas.

“Separuh tempat di PPR memulakan pemasangan jaring dan melalui tindakan ini, kita tidak mahu kejadian ditimpa objek dibaling dari atas berulang kembali.

“Insiden mati (ditimpa objek) ini adalah kali pertama namun, perbuatan membuang barang dari atas sudah berkali-kali dilakukan dan ini mendatangkan pelbagai masalah,” katanya kepada pemberita pada pelepasan Konvoi Kibar Bendera serta Kayuhan Ceria dan Langkah Ceria@Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Putra di sini, semalam.

Pada 15 Januari lalu, remaja lelaki, 15, menemui ajal selepas ditimpa kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam jam 8.30 malam.

Dalam pada itu, Tengku Adnan mencadangkan agensi yang berkenaan termasuk DBKL bertemu dan berbincang dengan penduduk supaya kejadian buruk tidak berulang kembali.

“Barangkali penerangan terperinci oleh agensi atau DBKL untuk memaklumkan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat memandangkan perbuatan membaling objek dari atas sering dilakukan,” katanya.

Berhubung program semalam, Tengku Adnan berkata, konvoi itu kerjasama Jabatan Penerangan Kuala Lumpur, DBKL serta pelbagai agensi lain membabitkan 22 kenderaan pacuan empat roda, tiga ambulans, 11 motosikal dengan 100 peserta.

Katanya, mereka menjelajah tujuh lokasi perhentian bermula Putrajaya serta berakhir di Pantai Dalam, Kuala Lumpur bagi mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan di setiap lokasi perhentian.

Sementara itu, beliau berkata, untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, ia bertemakan Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera manakala, lebih 35 program dirancang sepanjang Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 2:32 PM