NOH (tiga dari kanan) melihat rumah MyTransit. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Hayati Ibrahim


FASA pertama pembangunan Perumahan Transit Belia (MyTransit) membabitkan 2,010 unit akan dibina di Mukim Batu dan Kepong, Kuala Lumpur mulai awal bulan depan, dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, pembinaan projek ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai pelaksanaan 10,000 unit transit khusus untuk membantu golongan muda terutama di bandar utama pada pembentangan Bajet 2017.

Menurutnya, inisiatif ini dilaksanakan dengan BMG Global Sdn Bhd (BMG Global) bertindak sebagai pelabur untuk membiayai kos perancangan dan pembinaan rumah MyTransit.

Sementara itu, kerajaan menerusi KPKT menyediakan tanah tanpa perlu menyediakan sebarang kos pembangunan.

“Projek ini dibangunkan menggunakan model perniagaan baru melalui kerjasama pihak swasta dan kerajaan secara 'cross subsidy'.

“Ini bermakna, di atas plot tanah berkenaan akan mempunyai 2,010 unit Perumahan Transit Belia yang akan disewakan kepada belia dan 3,824 unit Rumah Mampu Milik (RMM) lagi yang akan dijual di pasaran kepada pembeli yang layak,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Perumahan Transit Belia (MyTransit) antara Kerajaan dengan BMG Global di Putrajaya hari ini.

MoU ditandatangani Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengarah Urusan BMG Global Mohd Nasir Rashid.

Noh berkata, BMG akan mendapat kembali hasil pelaburan melalui penjualan unit RMM yang dibina dengan keluasan 74.32 meter persegi pada harga RM300,000 seunit.

Katanya, pembangunan unit MyTransit membabitkan 60 peratus unit studio berkeluasan 37.16 meter persegi yang sesuai untuk golongan bujang dalam kumpulan M40.

Sementara, katanya, 40 peratus lagi adalah unit dua bilik berkeluasan 51.09 meter persegi untuk golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga menyewa sehingga mampu membeli kediaman sendiri.

Beliau berkata, sebelum ini kementerian sudah menyediakan rumah MyTransit di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tetapi ia adalah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun kini kementerian membina sendiri unit ini mengikut konsep yang sudah dipersetujui.

“Kadar sewa rumah transit belia adalah 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan kerajaan bersetuju menetapkan kadar sewa RM400 sebulan bagi unit studio dan RM550 sebulan bagi unit dua bilik.

“Tempoh sewaan ditetapkan lima tahun saja dan selepas cukup tempoh itu, mereka perlu keluar daripada rumah berkenaan,” katanya.

Noh berkata, dalam sewaan yang dibayar itu, kementerian meletakkan elemen 'force saving' (simpanan secara paksa) yang akan dipulangkan semula kepada penyewa selepas tamat tempoh sewaan.

Katanya, simpanan ini dapat membantu menyediakan sebahagian deposit bagi pembelian rumah kelak.

“Contoh, mereka menyewa pada kadar RM700, mungkin RM350 kita simpan manakala RM350 lagi untuk membiayai penyelenggaraan.

“Kerajaan tidak ambil untung, baki RM350 yang disimpan secara paksa itu akan dikembalikan selepas cukup lima tahun dan mereka sudah mempunyai sedikit simpanan untuk menyediakan deposit membeli rumah baru,” katanya.

Lebih menarik, katanya, unit kediaman ini turut dilengkapi perabot asas untuk memberi keselesaan kepada penyewa dan membantu mereka menyimpan wang tanpa perlu membeli perabot.

Noh berkata, fasa kedua membabitkan pembinaan kira-kira 6,000 unit akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 3:23 PM