LUKMAN (kiri) dan Raihan.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kampung Gajah: “Raihan anak yang manja dan dia paling manja dengan Lukman namun kedua-dua mereka sudah tiada. Biarpun sedih kehilangan dua anak lelaki serentak namun saya terima dengan reda ketentuan ini,” kata Jamaiyah Mohd Yusof, 44.

Jamaiyah adalah ibu kepada Lukman Abd Samad, 20, dan Muhammad Raihan, 6, yang lemas ketika mandi di tali air Peringkat 10, FELCRA Changkat Lada di sini, kelmarin.

Menurutnya, hubungan anak bongsunya itu dengan Lukman yang sebelum ini menjalani latihan praktikal di Teluk Intan begitu rapat.

“Raihan anak yang manja dan dia paling rapat dengan Lukman namun sudah takdir mereka berdua pergi dulu. Kehilangan mereka amat dirasai kami sekeluarga. Lukman anak yang taat, mendengar kata serta rajin membantu saya mengemas rumah dan memasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Changkat Lada Raya, semalam.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa dua anaknya itu selepas dimaklumkan suami, Abd Samad Abu, 52, ketika memasak di rumah selepas mereka pulang dari menahan pukat.

Menurutnya, dia juga bersyukur apabila jenazah Muhammad Raihan sudah ditemui.

“Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa. Raihan akan dikebumikan di sebelah kubur abangnya selepas semua urusan selesai,” katanya.

Jenazah Muhammad Raihan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELCRA Changkat Lada selepas solat Zuhur manakala Lukman dikebumikan pada jam 9.30 pagi semalam.


JAMAIYAH (kiri) sebak selepas pasukan penyelamat berjaya menemui mayat Muhammad Raihan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, jenazah Muhammad Raihan ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.55 pagi semalam sebelum dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat.

“Muhammad Raihan ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi Lukman ditemui dan 500 meter dari lokasi dia dikatakan lemas. Sebelum ini, jenazah Lukman sudah ditemui jam 4.50 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, Muhammad Raihan bersama dua abangnya, Lukman, 20, dan Kamaruddin, 18, dikatakan pergi ke tali air itu untuk mandi dan membersihkan badan selepas pulang daripada menahan pukat bersama ibu bapa dan seorang lagi abangnya, Hassan, 12.

Selepas menahan pukat, mereka pulang menaiki dua motosikal berasingan dan Muhammad Raihan membonceng bersama Lukman dan Kamaruddin manakala ibu bapa mereka bersama Hassan.

Bagaimanapun, Kamaruddin berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu manakala Lukman yang membawa Muhammad Raihan di belakangnya lemas.

Berita berkaitan:

Update] Adik sudah ditemui pagi tadi [METROTV]

[UPDATE] 'Lihat abang, adik tenggelam, terkapai-kapai...'

[UPDATE] Mayat abang dah ditemui, adik belum

Abang, adik terlepas pegangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 5:09 AM