Dadah yang dirampas dalam serbuan di Felda Selasih, Besut. FOTO ihsan polis
Zatul Iffah Zolkiply


ANGGOTA polis cedera di tangan kanan selepas digigit seorang wanita di sebuah stesen minyak di Kampung Raja, Besut, semalam.

Kejadian dilaporkan pada 5 petang ketika mangsa bersama rakan menjalankan operasi untuk menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Wanita berusia 22 tahun itu bertindak sedemikian bagi menghalang polis yang mahu menangkap abangnya berusia 29 tahun kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek sebelum itu meloloskan diri dalam serbuan di belakang rumah di Felda Selasih dan polis berjaya mengesannya bersama empat ahli keluarga termasuk ibunya berusia 53 tahun di dalam Honda Civic di stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata, empat wanita terbabit memaki hamun polis dengan kata-kata kesat sebelum adik suspek bertindak menggigit tangan kanan anggota polis.

"Anggota polis mendapat rawatan di Hospital Besut manakala suspek bersama empat ahli keluarganya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas, " katanya.

Mohd Zamri berkata, sebelum itu, kira-kira 1 tengah hari, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melakukan serbuan di belakang rumah di Felda Selasih serta menahan lelaki berusia 34 tahun manakala seorang lagi melarikan diri.

"Polis merampas sebanyak 270 biji pil kuda di dalam beg pinggang suspek manakala pemeriksaan di meja kecil di belakang rumah menemui tujuh botol plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin.

"Kita turut menemui satu beg mengandungi kad pengenalan dan lesen memandu suspek yang melarikan diri sebelum berjaya mengesannya di stesen minyak berkenaan.

"Selain itu, kita turut menyita tiga kereta dan dua motosikal milik kedua-dua suspek.

"Dua suspek direman mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 10:06 PM