Muhammad Aiman (kanan) dan Muhammad Aidil
HM Digital

Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru sedang mengesan seorang wanita untuk menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri bagi membolehkan dua anak lelakinya yang kini di bawah jagaan agensi itu dapat ke sekolah.

Pelindung Kanak-kanak JKM Johor Bahru Zaid Ikhwan Lim berkata, Muhammad Aiman, 8 dan abangnya, Muhammad Aidil Alfian, 9, gagal didaftar ke sekolah berikutan tidak memiliki sijil kelahiran.

Katanya, ibu bapa mereka yang sepatutnya menguruskan pendaftaran mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berbuat demikian menyebabkan urusan pendidikan dua beradik itu terbantut.

Menurutnya, lebih malang selepas beberapa tahun, bapa mereka yang juga dipercayai warga asing menghilangkan diri dan dua beradik itu diabaikan ibu kandung sejak kira-kira setahun lalu.

“Berdasarkan rekod kami, Samsiah Tumin, 46, seorang warga tempatan meminta bantuan jiran menjaga dua beradik itu buat sementara kerana mahu bertemu rakan tahun lalu.

“Wanita itu tidak pernah muncul lagi mengambil anaknya yang berada di bawah jagaan jiran di Ulu Tiram antara Januari hingga Julai tahun lalu,” katanya.

Zaid berkata, apabila keluarga berkenaan menyebarkan kisah dua beradik itu di media sosial bertujuan mengesan ibu bapa kandung, ibu saudara kepada kanak-kanak terbabit tampil menuntut mereka pada 3 Julai 2017.

“Ibu saudara mereka turut tinggal di Ulu Tiram dan selepas menjaga mereka hampir sebulan, dia dan ahli keluarga mengambil keputusan untuk menyerahkan mereka kepada JKM,” katanya.

Menurut Zaid, pihak JKM memohon perintah mahkamah mengikut Seksyen 19(2), Akta Kanak-kanak 2001, supaya kanak-kanak ditempatkan di Rumah Perlindungan sementara siasatan dijalankan.

“Kami meminta bantuan ramai yang mengenali atau memiliki maklumat berkaitan ibu mereka untuk menghubungi pejabat JKM Johor Bahru di talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:46 AM